Friday, January 15, 2010

Najib, Rombongan Kerjakan Umrah


Sumber:Berita Harian 16 Jan 2010.

MAKKAH: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang melakukan lawatan rasmi empat hari ke Arab Saudi, meluangkan masa untuk mengerjakan umrah, malam kelmarin (awal pagi semalam waktu Malaysia).

Beliau yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan anggota delegasinya, memulakan ibadah itu kira-kira jam 11 malam dan selesai melakukan tawaf tujuh kali sekeliling Kaabah serta sa'ie kira-kira dua jam kemudian.

Ibadah yang diketuai Jamil Sulaiman Jalal, berkata beliau turut menjalankan tugas sebagai mutawif kepada bapa Najib, Allahyarham Tun Razak Hussein, iaitu Perdana Menteri Malaysia Kedua.

Pemimpin Malaysia itu menunaikan solat Jumaat dan melakukan tawaf Wida lewat hari ini (semalam) sebelum berlepas ke Jeddah untuk menghadiri perhimpunan bersama anggota komuniti perniagaan Malaysia di Arab Saudi pada petang.

Lawatan beliau ke Arab Saudi bertujuan menggalakkan hubungan lebih akrab antara Malaysia dan negara yang kaya dengan minyak itu, termasuk bidang ekonomi.

Rombongan beliau turut dianggotai beberapa menteri, termasuk Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
-Bernama. (Berita Harian 16 Jan 2010).

No comments:

Post a Comment