Saturday, January 16, 2010

Pengalaman Mengerjakan Umrah


Alhamdulillah kerana berkat doa seluruh ahli keluargaku, maka aku berpeluang untuk mengerjakan umrah. Pada mulanya, tidak dirancang untuk mengerjakan umrah secepat ini tetapi seruan Allah Subhanahu Wataala jua yang telah mengizinkan aku untuk sampai ke Baitullah.





Aku bersama rakan sekerja yang sedang bertugas di Bumi Lubnan mengambil pakej 10 hari dengan dimulakan dengan ziarah di Madinah terlebih dahulu dan diakhiri dengan ibadah Umrah di Makkatul-Mukarramah. Sesungguhnya pengalaman mengerjakan ibadah Umrah ini tidak dapat dilupakan sampai bila-bila. Aku sentiasa berharap untuk sentiasa berpeluang untuk pergi ke sana lagi. Bagiku, tiada percutian yang lebih indah selain daripada bercuti sambil beribadah di Madinah dan Makkah serta menziarahi tempat-tempat bersejarah peninggalan zaman lampau. Pelbagai pengalaman ditempuh di sana dan keadaan cuaca yang panas kering tidak akan dirasai sekiranya kita benar-benar ikhlas untuk beribadah kepada-Nya.

Tempoh 10 Hari itu sebenarnya tidak mencukupi untuk kita beribadah. Oleh yang demikian, aku selalu berdoa ke hadrat Illahi agar aku dapat kembali ke sana untuk tempoh yang lebih lama. Perlu diingat juga di sini bahawa sebanyak manapun Umrah yang kita lakukan, kita tidak perlu risau kalau kuantitinya tidak banyak kerana dengan izin Allah, kesemua Umrah tersebut akan diterima oleh Allah. Sekali lagi aku bersyukur ke hadrat Illahi kerana diberi peluang untuk mengerjakan ibadah Umrah bersama-sama rakan seperjuangan tanpa sebarang masalah. Sehubungan dengan itu, aku ingin menyeru umat muslimin dan muslimat serta rakan-rakan semua supaya marilah kita sama-sama mengambil peluang untuk mengerjakan ibadah umrah kerana ianya adalah Wajib sekali seumur hidup.

No comments:

Post a Comment