Saturday, May 1, 2010

Menziarahi Jabal Rahmah, Bukit Pertemuan Adam & Hawa







Tidak lengkap rasanya ziarah ke Tanah Suci Mekah ini jika tidak singgah di Jabal Rahmah, bukit yang ada di sekitar Padang Arafah. Di Jabal Rahmah inilah diriwayatkan sebagai tempat bertemunya Nabi Adam dan Hawa setelah berpisah 100 tahun diturunkan dari langit ke bumi. Sehingga kini, bukit ini masih utuh dan tersergam dengan sebuah tugu monumen di puncaknya. Banyak jemaah yang naik ke bukit ini untuk melawat atau berdoa di situ.

Jabal Rahmah terletak 25 km di tenggara kota Makkah, ianya termasuk dalam wilayah Arafah. Di puncak Jabal Rahmah ada sebuah tugu yang menandakan titik atau tempat pertemuan itu. Tinggi tugu tersebut lebih kurang 8-10 meter. Untuk sampai ke tempat itu atau tugu itu, jaraknya hanya 150 meter dari kaki bukit. Masa yang diperlukan untuk sampai ke puncak itu adalah diantara 15-20 minit untuk mendakinya. Di lokasi Jabal Rahmah ini Mohd Fadzil bin Hj Ngadiman dan rombongan turun dari bas, dan seterusnya membuat pendakian.


Di kaki bukit, banyak unta yang telah dihiasi dengan pelbagai hiasan kelihatan untuk dijaja oleh tuan punya unta tersebut. Unta yang dihiasi bunga berwarna-warni begitu mengghairahkan, bersedia untuk dinaikki pengunjung dan mengambil gambar bersama. Untuk bergambar bersama unta ini, pengunjung dikenakan bayaran 20 riyal bagi sekali tunggangan dan gambar-gambar yang diambil terus sahaja ready dan tanpa negative/film. Kekadang si pemilik unta ini memaksa pengunjung untuk bergambar dan menaiki untanya. Dan, ia bukan hanya satu kali tunggangan, tetapi kekadang berkali-kali. So, jumlah yang akan dibayar pengunjung pun menjadi banyak. Oleh itu, kita mesti pandai menolak atau berkata tegas kepada si tukang ambil gambar ini agar riyal yang dibawa tidak habis begitu sahaja.

Jabal Rahmah yang bererti bukit penuh rahmat, selalu dipenuhi pengunjung kerana mempunyai sejarah penting dalam Islam. Konon, di tempat ini merupakan tempat terbaik untuk berdoa meminta jodoh. Dikatakan, apabila seseorang berdoa di atas bukit ini untuk meminta pendamping hidup, nescaya doanya dikabulkan Allah. Wallahualam... Sayangnya, kekhusyukan jemaah yang berdoa sedikit terganggu oleh para tukang foto di sekeliling dan pedagang yang sibuk menjajakan dagangan seperti tasbih, aneka batu cincin, key chain dan sebagainya.

Bagi yang ingin cepat mendapat jodoh atau mengekalkan perkahwinannya, berdoalah di puncak Jabal Rahmah ini. Di tugu tempat bertemunya nabi Adam dan isterinya Hawa. Satu kisah popular yang diceritakan tour guide kami, kononnya pernah ada seorang suami yang berdoa di Jabal Rahmah itu sambil berbisik bisik manakala si isteri mengaminkan saja. Waktu pun berlalu, tak lama selepas itu si suami tersebut memperkenalkan pada isterinya, calon isteri keduanya. Tentu saja si isteri pertama naik marah!!... Tapi si suami dengan tenang berkata. "Sayang jangan marah, dulu waktu di Jabal Rahmah abang memang berdoa untuk mencari isteri lagi. Kan saat itu sayang juga yang mengaminkan...."

Fadzil dan rombongan menghabiskan masa di Jabal Rahmah selama lebih kurang 3 jam.



Wednesday, April 28, 2010

Sejarah : Gua Hira, Jabal Nur


Berada di kaki bukit Jabal Nur...Sebelum mendaki.


Di depan pintu Gua Hira...Kuasa Allah tiada siapa dapat menghalangNya.


Sedang mendaki Jabal Nur...mendaki ketika cuaca panas...

Dengan keizinan Allah SWT, aku sempat dan berpeluang mengunjungi Gua Hira. Sebuah tempat yang tidak pernah terlintas di hatiku untuk diziarahi. Apatah lagi ianya sebuah gunung yang memerlukan ketabahan hati untuk didaki. Alhamdulillah, perjalanan pendakian aku ke puncak Jabal Nur tercapai jua akhirnya. Kenangan manis yang memang tidak akan aku lupakan sepanjang hayatku, mendaki Jabal Nur dan berada di Gua Hira. Berikut adalah serba sedikit mengenai Gua Hira..

Gua Hira yang terletak di Jabal Nur adalah sebuah gua yang sangat terkenal dalam sejarah Islam, kerana di dalam gua itulah Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi rasul, dan di situ pula turunnya ayat Al-Qur'an yang pertama [Al 'Alaq 1-5]. Gua kecil ini terletak di puncak gunung Jabal Nur, di bahagian utara Mekah, sekitar 5 km dari Masjidil-Haram, di sebelah kiri perjalanan menuju Arafah. Tinggi puncak Jabal Nur adalah sekitar 200 m. Bentuk gunung ini dilihat berdiri tajam. Disekelilingnya terdapat sejumlah gunung, bukit batu dan jurang.


Bentuk Gua Hira agak memanjang, terletak di belakang 2 batu raksasa yang sangat dalam dan sempit, tidak dapat dilalui lebih dari satu orang. Di dalam gua hanya boleh memuatkan kira-kira 5 orang saja, dan sekadar cukup untuk tidur 3 orang secara berdampingan. Tinggi gua hanya setinggi orang berdiri, atau sekitar 2 meter. Seandainya tidak ada bangunan yang tinggi di Masjidil-Haram, dari mulut gua bahagian belakang dapat dilihat Ka'bah (Masjidil Haram). Meskipun dalam syarat berhaji tidak dimestikan untuk pergi ke Gua Hira, namun pada musim haji banyak jemaah haji mengambil kesempatan untuk naik ke Jabal Nur, menyaksikan Gua Hira. Di kawasan gunung ini tidak terdapat sedikit tanaman sekalipun. Gersang. Hanya terdiri dari batu-batu besar. Mendaki puncak Gua Hira memerlukan masa sekurang-kurangnya 2 jam. Keadaan di puncaknya sangat sunyi dan senyap hingga terasa menakutkan.

Beberapa tahun sebelum dan setelah menikah dengan Khadijah binti Khuwalid, Rasulullah SAW telah menjadikan Gua Hira sebagai tempat menyepi untuk bertafakur, mengasingkan diri dari berbagai keruntuhan moral penduduk Mekah. Selama itu beliau juga bekerja membantu para jemaah haji yang datang ke Ka'bah dengan menyediakan air minuman buat mereka. Namun beliau tidak pernah beribadah menurut kepercayaan orang Arab dikala itu, iaitu menyembah berhala yang ada di Ka'bah. Rasulullah SAW sering memisahkan diri dari keramaian untuk mencari jalan keluar - cara agar masyarakat tidak menyembah berhala.

Di gua ini menjelang usia 40, Rasulullah yang selalu bertafakur, beribadah menurut agama Ibrahim selama berjam-jam bahkan berhari-hari hanya dengan membawa bekal makanan dan minuman secukupnya. Beliau pulang hanya untuk mengambil bekalan dan kembali lagi ke gua. Sepanjang bulan Ramadhan digunakan beliau untuk beribadah. Pada malam 17 Ramadhan 41H atau 6 Ogos 610, beliau melihat "cahaya" terang benderang memenuhi ruangan gua. Tiba-tiba Malaikat Jibril muncul dihadapan beliau menyampaikan wahyu Allah SWT, yang pertama, Al 'Alaq (1-5).

Setelah itu dengan perasaan takut dan gelisah, beliau bergegas pulang dan berkata pada Khadijah : "Selimutkanlah Aku, Selimutkanlah Aku." Khadijah menyelimuti dan mendampingi beliau hingga hilang rasa takutnya. Setelah mendengar kisah yang sangat ganjil dialami suaminya di Gua Hira, Khadijah segera menemui Waraqah bin Naufal, anak saudara Khadijah, seorang pemeluk agama Nasrani di zaman Jahiliyah. Waraqah pandai menulis kitab Injil dengan bahasa Ibrani. Melalui dia, Muhammad SAW tahu bawa dirinya akan diangkat menjadi Nabi dan Rasul sebagaimana Nabi Musa, menerima wahyu Allah SWT melalui Jibril.

Muhammad SAW ketika itu berusia sekitar 40 tahun. Beliau telah dipilih Allah SWT sebagai Rasul. Rasul terakhir yang membawa manusia dari alam kegelapan ke alam yang terang benderang.


Menuruni Jabal Nur...

Sempat solat sunat di dalam Gua Hira...


Berada di puncak Jabal Nur...Fadzil melambai tangan setelah berjaya sampai di puncak Jabal Nur yang menempatkan Gua Hira.



Jalan masuk ke Gua Hira...Fadzil menunjukkan laluan sempit yang dihimpit batu-batu besar.


Di Pintu Gua Hira...Fadzil bercerita di hadapan pintu Gua Hira sebelum menamatkan ziarah dan menuruni Jabal Nur.

Saturday, January 16, 2010

Pengalaman Mengerjakan Umrah


Alhamdulillah kerana berkat doa seluruh ahli keluargaku, maka aku berpeluang untuk mengerjakan umrah. Pada mulanya, tidak dirancang untuk mengerjakan umrah secepat ini tetapi seruan Allah Subhanahu Wataala jua yang telah mengizinkan aku untuk sampai ke Baitullah.





Aku bersama rakan sekerja yang sedang bertugas di Bumi Lubnan mengambil pakej 10 hari dengan dimulakan dengan ziarah di Madinah terlebih dahulu dan diakhiri dengan ibadah Umrah di Makkatul-Mukarramah. Sesungguhnya pengalaman mengerjakan ibadah Umrah ini tidak dapat dilupakan sampai bila-bila. Aku sentiasa berharap untuk sentiasa berpeluang untuk pergi ke sana lagi. Bagiku, tiada percutian yang lebih indah selain daripada bercuti sambil beribadah di Madinah dan Makkah serta menziarahi tempat-tempat bersejarah peninggalan zaman lampau. Pelbagai pengalaman ditempuh di sana dan keadaan cuaca yang panas kering tidak akan dirasai sekiranya kita benar-benar ikhlas untuk beribadah kepada-Nya.

Tempoh 10 Hari itu sebenarnya tidak mencukupi untuk kita beribadah. Oleh yang demikian, aku selalu berdoa ke hadrat Illahi agar aku dapat kembali ke sana untuk tempoh yang lebih lama. Perlu diingat juga di sini bahawa sebanyak manapun Umrah yang kita lakukan, kita tidak perlu risau kalau kuantitinya tidak banyak kerana dengan izin Allah, kesemua Umrah tersebut akan diterima oleh Allah. Sekali lagi aku bersyukur ke hadrat Illahi kerana diberi peluang untuk mengerjakan ibadah Umrah bersama-sama rakan seperjuangan tanpa sebarang masalah. Sehubungan dengan itu, aku ingin menyeru umat muslimin dan muslimat serta rakan-rakan semua supaya marilah kita sama-sama mengambil peluang untuk mengerjakan ibadah umrah kerana ianya adalah Wajib sekali seumur hidup.

Singgah di Damsyik,Syria

Didalam perjalanan balik dari mengerjakan umrah di Tanah Suci, saya dan kumpulan yang menaiki bas sewa khas sempat singgah dan bermalam selama satu malam di Bandar Dimasq (Damsyik).Antara tempat-tempat yang sempat kami lawati adalah - Masjid Al-Umawi(Omayyad Mosque),Makam Nabi Yahya bin Zakaria (sempat solat sunat),Souq(Pasar) Hamidi, Makam(Kubur) Nabi Salehuddin Al-Ayubi, makam Bilal bin Rabah dan banyak lagi tempat2 menarik lain yg kami lawati...Di makam tersebut kami sempat bertafakur sejenak dan menghadiahkan surah Al-Fatihah serta membaca ayat-ayat suci.





Makam Bilal bin Rabah

























Friday, January 15, 2010

Najib, Rombongan Kerjakan Umrah


Sumber:Berita Harian 16 Jan 2010.

MAKKAH: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang melakukan lawatan rasmi empat hari ke Arab Saudi, meluangkan masa untuk mengerjakan umrah, malam kelmarin (awal pagi semalam waktu Malaysia).

Beliau yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan anggota delegasinya, memulakan ibadah itu kira-kira jam 11 malam dan selesai melakukan tawaf tujuh kali sekeliling Kaabah serta sa'ie kira-kira dua jam kemudian.

Ibadah yang diketuai Jamil Sulaiman Jalal, berkata beliau turut menjalankan tugas sebagai mutawif kepada bapa Najib, Allahyarham Tun Razak Hussein, iaitu Perdana Menteri Malaysia Kedua.

Pemimpin Malaysia itu menunaikan solat Jumaat dan melakukan tawaf Wida lewat hari ini (semalam) sebelum berlepas ke Jeddah untuk menghadiri perhimpunan bersama anggota komuniti perniagaan Malaysia di Arab Saudi pada petang.

Lawatan beliau ke Arab Saudi bertujuan menggalakkan hubungan lebih akrab antara Malaysia dan negara yang kaya dengan minyak itu, termasuk bidang ekonomi.

Rombongan beliau turut dianggotai beberapa menteri, termasuk Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
-Bernama. (Berita Harian 16 Jan 2010).

Friday, January 8, 2010

Laut Mati - Geografi


Laut Mati (bahasa Ibrani: ים המלח; bahasa Arab: البحر الميت‎) merupakan tasik air masin yang terletak di sempadan Jordan dan Tebing Barat. Pantainya berada di kedudukan serendah 418 m di bawah aras laut, kedudukan terendah di atas daratan, dan juga tasik masin yang terdalam, sedalam 330 m. Airnya mempunyai kemasinan kedua tertinggi di dunia selepas Laut Asal di Djibouti dengan kemasinan hampir 30 % . Ini lebih kurang 8.6 kali lebih masin dari laut biasa. Oleh kerana itu tiada satu pun hidupan yang boleh hidup di dalamnya dan kapal tidak boleh berlayar di atas permukaannya. Tasin ini berukuran 67 km panjang dan 18 km lebar. Cabang sungai utamanya ialah Sungai Jordan.

Fakta Laut Mati:

Koordinat - 31°20′N 35°30′E

Jenis tasik - endorheik hipersaline

Sumber asas - Sungai Jordan

Primary outflows - Pemeluwapan

Kawasan terlibat - 40,650 km² (25,258 mi²)

Negara terlibat - Jordan,Israel dan Wilayah Palestin

Panjang - 67 km (42 mi)

Lebar - 18 km (11 mi)

Kawasan permukaan - 810 km² (Lurah Utara)

Purata kedalaman - 120 m[1] (394 ft)

Kedalaman maksimum - 330 m (1,083 ft)

Isipadu air - 147 km³ (91 mi³)

Shore length - 135 km (84 mi)

Surface elevation - 418 m (-1,371 ft)

Sumber:Wikipedia

Kaitan Kisah Kaum Luth dan Laut Mati (Deadsea Jordan)



Wahai saudari, sudikah saudari menerima kami sebagai tetamu keluargamu?” ujar salah seorang daripada tiga malaikat yang menjelma sebagai pemuda tampan bertubuh sasa itu.
Si gadis yang sedari tadi begitu leka mencedok air dari perigi itu terkejut. Hampir sahaja timba yang sedang dipegangnya lucut ke dalam perigi. Wajahnya menjadi pucat. Lidahnya serta-merta kelu. Dia tidak dapat berkata apa-apa. Hatinya tiba-tiba diserang bimbang. Kebimbangan yang bukan disebabkan oleh kehadiran pemuda-pemuda kacak di hadapannya itu. Tetapi kerana dia telah dapat mengagak apa yang bakal berlaku sekiranya mereka diterima bertamu di rumahnya.

Anak gadis Nabi Luth itu cukup arif dengan amalan buruk warga Sadum yang pantang melihat lelaki muda, berwajah tampan dan bertubuh sasa. Pasti anak muda itu menjadi mangsa untuk memuaskan nafsu serakah mereka. Pada mereka, wanita tidak ada daya tarikan langsung. Lelaki hanya untuk lelaki, manakala wanita untuk wanita.
“Apa yang harus aku jawab kepada mereka,” bisik si gadis itu sendiri. Dia menjadi begitu serba salah.

“Apakah kedatangan kami ini menganggu saudari?” tanya pemuda itu kembali. “
” Oh tidak. Tapi… bolehkah tuan-tuan tunggu di sini sebentar. Biar saya maklumkan dahulu kepada bapa saya,” balas si gadis terputus-putus. Dia mencapai bekas air yang hampir penuh dan pulang dengan tergesa-gesa.

Demi mendengar kedatangan tiga tetamu muda remaja itu, Nabi Luth mula gusar dan berasa tidak tenteram. “Ini adalah hari yang amat sulit bagiku,” kata Nabi Luth.
Baginda amat mengerti apakah akibatnya seandai kedatangan para tetamunya itu diketahui oleh kaumnya. Namun tabiatnya yang suka menerima tetamu, tetap kuat mendesak meskipun risiko yang terpaksa diterimanya sangat tinggi. Hari sudah menjelang malam, baginda sendiri pergi menjemput para tetamunya itu.

Kepada isteri dan puteri-puterinya dipesan agar perkara itu dirahsiakan, jangan sampai tersebar kepada orang ramai. Kelak mengundang bahaya yang besar. Malangnya, si isteri tidak mampu berlaku setia. Dihebahnya berita perihal tetamu-tetamu mereka kepada kaumnya.Sebaik sahaja mendengar berita yang menarik dan sangat ditunggu-tunggu itu, bergegas dan berpusu-pusulah mereka ke rumah Nabi Luth.
“Wahai Luth! Bukakan pintu ini dan serahkan anak-anak muda itu kepada kami. Kami sangat memerlukan mereka. Buka pintu ini cepat!” Salah seorang daripada mereka terjerit-jerit sambil menendang daun pintu rumah Nabi Luth.“Wahai Luth! Engkau larang kami dari mendekati anak muda, sebaliknya engkau sendiri menyimpan tiga orang pemuda,” jerit satu suara yang lain.

“Ya Allah, selamatkanlah kami,” doa Nabi Luth sambil memandang ke arah para tetamunya.“Wahai kaumku! Aku ada anak gadis. Aku bersedia mengahwinkan kamu dengan mereka sekiranya kamu mahu. Tinggalkanlah perlakuan buruk kamu selama ini. Dan janganlah kamu ganggu para tetamu kami ini.”

Nabi Luth tidak henti-henti menasihati kaumnya.“Ah! Usah hendak bersyarah di sini. Kami ke mari bukan untuk mendengar leteranmu. Kami ke sini untuk bersuka ria.” Suara-suara mereka kian tegas dan semakin tidak terkawal.“Hai Luth! Engkau sememangnya tahu kami tidak perlu kepada wanita. Tapi kami yakin engkau tahu apa yang kami perlukan sekarang.” “Baik engkau serahkan mereka kepada kami segera. Kalau tidak kami akan pecah-pecahkan pintu ini.” Nabi Luth tahu kemungkaran apa yang akan terjadi sekiranya tetamunya jatuh ke tangan mereka yang telah tenggelam dalam perlakuan yang melampaui batas itu. Baginda juga sedar, kalau dipertahankan sekalipun, mereka pasti cuba untuk menceroboh masuk. Kini, apa yang mampu dilakukan oleh Nabi Luth hanyalah berdoa kepada Allah SWT. Hanya kepada Allah sahajalah tumpuan terakhir, tempat baginda berserah diri dan bergantung harap.

Namun baginda dapati suatu keanehan; tiada terbayang walau sedikit pun tanda-tanda kebimbangan pada wajah para pemuda itu. Mereka kelihatan begitu tenang dan bersahaja.
“Wahai Luth! Usah khuatir dengan ugutan mereka,” kata salah seorang daripada pemuda itu. Nabi Luth seakan-akan tidak percaya dengan apa yang diucapkan oleh salah seorang tetamunya. Baginda memandang tepat ke arah pemuda yang bersuara itu. Bunyi ketukan pada pintu bertambah kuat dan keras.

“Wahai Nabi Allah! Sebenarnya kami adalah malaikat utusan Tuhanmu. Kami jamin mereka tidak akan dapat mengganggu kamu. Bawalah keluarga dan pengikutmu keluar dari sini di akhir malam ini kecuali isterimu kerana dia termasuk golongan yang derhaka.”
Kini, barulah Nabi Luth sedar bahawa pembalasan dari Allah ke atas sikap keterlaluan kaumnya telah hampir tiba..Tepat ketika seperti yang ditentukan oleh Allah, penglihatan kaum yang derhaka itu ditarik, dan serta-merta segalanya makin kelam, hitam. Setiap mata telah menjadi buta. Akibatnya, keadaan menjadi hingar-bingar dan bercelaru. Masing-masing jadi buntu dan hilang haluan, lantas bertembung antara satu sama lain.

Menjelang Subuh, tatkala Nabi Luth, beberapa keluarga dan pengikutnya sudah berada agak jauh dari sempadan kota Sadum, maka turunlah azab Allah SWT. Allah memerintahkan malaikat memotong kedua-dua belah sempadan bumi warga Sadum itu dengan kedua-dua sayapnya. Kemudian bumi itu dijulang tinggi ke langit dan diterbalikkan bahagian yang atas ke bawah, yang bawah ke atas, lalu dihempas sekuat-kuatnya ke dasar bumi. Hancur berkecailah kota Sadum dan turut terkuburlah sama para pengamal homoseks di perut buminya. Kemudian kawasan itu dihujani pula oleh batu-batu daripada tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi. Dan di dataran itu jugalah akhirnya terbentuknya sebuah lautan. Lautan yang digelar sebagai `Laut Mati`.


Ia adalah lambang kebesaran kerajaan Tuhan, juga sebagai tanda keadilan-Nya di dunia lagi agar manusia sentiasa mengagungkan dan membesarkan syariat-Nya.